Saturday 6 April 2013

Format Cinta

Assalamualaikum sahabat. Apa khabar? Moga Allah sentiasa melindungi kita semua. Entri kali ini saya ingin sentuh sedikit tentang cinta, jiwang la pulak :) Cinta bukan hanya diciptakan untuk mencintai antara sesama manusia bahkan sesama alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan cinta kita yang agung iaitu Rabbi! Tapi apa yang kita lihat sekarang konsep cinta hanya didedahkan terhadap cinta sesama manusia sahaja. Mengapa tidak didedahkan dengan cinta yang agung? Tidak sempurnakah? Tidak cantikkah? Kita yang mampu menjawab. Saya pernah terlihat sepasang kekasih duduk bersama di bawah pondok bas dengan pakaian 'sekolah' sambil si perempuan duduk di pangkuan lelaki. Dalam fikiran saya tertanya adakah mereka sudah bernikah? Gaya seperti orang yang baru sahaja bernikah dan berbulan madu. Mereka seolah-olah berlakon di dalam filem hollywood sedangkan tudung dan songkok di kepala. Adakah islam? Sudah semestinya! Terdetik untuk menegur tapi jauh di benak hati saya berkata saya bukannya sempurna dan baik sangat. Jadi, keputusannya saya membiarkan. Lama selepas itu, saya terfikir betapa menyesalnya kerana tidak menegur dari awal kerana dia adalah sebangsa dengan saya, seagama dan senegara. Saya yakin ramai yang menghiraukan perkara itu. Jika tiada manusia yang menegur maka lama-kelamaan hancur binasalah iman di dada mereka. Sepanjang saya melihat kerenah manusia perkara inilah yang terkilan bagi saya. Benar cinta itu tidak mengenal usia tapi gunakanlah cinta itu pada landasan yang betul. Cinta yang satu lebih kekal abadi dan lebih sempurna. Lepaskan cinta pada insan yang memerlukan dan sempurnakanlah cinta pada pencipta insan (ALLAH).